Sekolah Pertamaku Menabur Bakti...
Saya
telah berpraktikum di Sekolah Agama Menengah Bandar Baru Salak Tinggi, Sepang,
Selangor. Saya bersama rakan praktikum saya, Najwa Khairani binti Azman telah
menjalankan praktikum di sekolah berkenaan selama 16 minggu. Saya dan rakan
telah berpraktikum di sekolah tersebut di bawah penyeliaan Profesor Emiretus
Dr. Abdul Hamid bin Mahmood.
Sekolah ini diketuai oleh Tuan Hj.
Mohmed bin Sarip. Sekolah ini merupakan antara sekolah di negeri Selangor yang menawarkan
2 aliran pembelajaran iaitu aliran akademik dan aliran agama. Visi sekolah ini
ialah ‘Sekolah Unggul Penjana Generasi Terbilang’ manakala misi pula ialah
melahirkan murid bersahsiah terpuji, cemerlang akademik, kokurikulum dan
kepimpinan berlandaskan Falsafah Pendidikan Kebangsaan dan falsafah Pendidikan
Islam. Sistem pembelajaran akademik di sekolah ini adalah seperti sekolah
menengah lain di Malaysia iaitu mengikut sukatan Kementerian Pelajaran Malaysia
yang telah ditetapkan manakala pelajaran aliran agama adalah mengikut sukatan
Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) iaitu Bahasa Arab, Tafsir Hadith, Al-Quran dan
Tauhid Feqah. Sekolah ini mempunyai asrama harian biasa.
Sekolah
ini merupakan satu daripada dua buah sekolah agama JAIS di daerah Sepang.
Sekolah ini mula beroperasi pada 3 Januari 2005 dan terletak di Bandar Salak
Tinggi, sebuah bandar yang sedang membangun. Sekolah ini di bawah pentadbiran Jabatan
Agama Islam Selangor (JAIS) tetapi sekolah ini telah didaftarkan di bawah
Kementerian Pelajaran Malaysia sebagai Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK). SAMBBST dibina di atas tanah wakaf Kompleks Tanah Majlis Agama Islam Selangor (MAIS).Sekolah ini mempunyai 2 blok bangunan akademik 2 blok penginapan pelajar putera 2 blok penginapan pelajar puteri, surau dan dewan yang lengkapdan besar, padang yang luas, beberapa makmal sains, 2 blok bengkel KHB,sebuah perpustakaan,koperasi sekolah dan premis-premis lain.
Pada peringkat awal penubuhan SAMBBST iaitu pada tahun 2005,bilangan guru hanyalah seramai 39 orang manakala pelajar lebih kurang seramai 600 orang.Kebanyakan adalah pelajar tingkatan dua hingga lima merupakan pelajar yang dipindahkan daripada Sekolah Agama Menengah Sungai MerabLuar(SAMSMEL).Manakala pelajar - pelajar tingkatan satu pula merupakan pelajar baru yang mendapat tawaran Jabatan Agama Islam Selangor(JAIS)untuk menyambung pelajaran di sini. Hampir keseluruhan pelajar di sini tinggal di asrama.
LAGU SEKOLAH SAM BBST
Berilmu beramal dan bertaqwa
Cogan kata sekolah kita
Berdisiplin bersahsiah mulia
Menjadi tonggak untuk berjaya
SAM Bandar Baru Salak Tinggi
Setinggi cita-cita kami
Membangunkan minda
Membangunkan jiwa
Membangunkan agama bangsa dan negara
Ayuh marilah kita semua
Berusaha dan terus berusaha
Memupuk wawasan negara tercinta
Menuju puncak jaya.
Kenangan Bersama Warga SAM BBST
Ini ialah gambar kenang-kenangan di hari-hari terakhir saya menjalani latihan di SAM BBST. Mereka ini merupakan anak-anak didik saya dari tingkatan 2 Imtiaz. Mereka terdiri daripada 35 orang pelajar.
Ini ialah wajah-wajah ceria anak-anak didik dari tingkatan 2 Istiqamah. Mereka terdiri daripada 37 orang pelajar. Keceriaan mereka di dalam kelas merupakan antara kenangan terindah yang telah tercipta selama 16 minggu saya berpraktikum di SAM BBST.
Ini ialah satu-satunya kelas tingkatan 1 iaitu 1 Ikhlas dan satu-satunya kelas di mana saya mengajar mata pelajaran Sejarah. Kelas ini terdiri daripada 37 orang pelajar.
Kenangan bersama guru pembimbing saya Puan Kamariah binti Hj. Radzwan. Insan ini banyak memberi tunjuk ajar dan bimbingan kepada saya sepanjang saya menjalani latihan mengajar di sekolah ini. Terima kasih cikgu. Jasamu dikenang.
Ini adalah antara barisan guru yang banyak memberi tunjuk ajar, dorongan dan bimbingan sepanjang saya menjalani latihan mengajar di sekolah ini. Mereka adalah antara insan-insan yang menceriakan hari-hari saya sepanjang berada di SAM BBST. Gambar ini dirakam semasa Sambutan Hari Raya Aidilfitri peringkat sekolah bertempat di Dewan Al-Kawarizmi SAM BBST.